5.12.10

Sarapan Dalam Hujan Lebat di Rumah Oktagon

Mama Kumbang mahu ke tempat kerja. Di sebelahnya Anak Kumbang I sedang bersarapan susu segar bersama Koko Crunch. Anak Kumbang II sedang minum jus kranberi.

"Oh ma, hari ini pukul 8 malam saya ada persembahan ballet. Ma datang kan?" Anak Kumbang II tiba-tiba bersuara.

"Eh, malam ini? Bukan malam esok? Mama rasa mama dah tulis dalam organizer, 8 malam esok."

"Bukan, malam ini. Ma tak datang la yeh?"

"Hm, maaf sayang. Nampaknya tak. Mama kena pergi pertunjukan fesyen di Starhill Gallery. Ini pertunjukan penting. Indeed, mereka dah bayar mama untuk duduk di barisan hadapan. Jadi mama tak boleh batalkan dengan tiba-tiba."

Anak Kumbang I yang dari tadi hanya mendengar perbualan kecil tersebut tiba-tiba mencelah.

"Ha ha. Aku tak sangka kau beritahu mama pasal persembahan kau kali ni. Kan aku dah cakap dia takkan datang. Apa sangat gerak tari kau tu nak dibandingkan dengan busana fesyen oleh pereka-pereka fesyen antarabangsa yang serba hebat tu. Lagipun, mama mana minat ballet...."

"Hei, kenapa biadap sangat, nak? Jangan tuduh mama sembarangan!"

"Kenapa? Bukan ma penah beritahu saya itu hari yang ma sebenarnya tak sukakan ballet?"

"Heh. Kalau tak suka kenapa tak terus-terang saja, ma? Menonton secara terpaksa rupanya sejak dulu? Ha ha, rupanya sia-sia semua masa dan kesakitan yang saya dah lalui. Saya ingat lagi pertama kali saya ke kelas ballet, mama pernah cakap yang ma bangga saya pilih ballet. Jadi semenjak hari tu saya sentiasa berlatih bersungguh-sungguh, untuk mama."

"Ah, kau yang bodoh..."

"Sebab pilih ballet?"

"Bukan sebab pilih ballet, tapi sebab pilih ballet demi mama. Bukan kau tak tahu dia bukannya selalu ada masa untuk kita. Maksud aku, kalau kau pilih tuba atau klarinet misalnya, memang tak tentu lagi ma suka, ya aku rasa dia memang tak minat pun. Tapi kau buat untuk diri kau. Bukan orang lain. Buat benda untuk orang lain, nanti kau jadi macam sekarang, roh kau dah hilang."

"Apa yang kau tahu sangat tentang diri aku?"

"Alah, bukan aku tak hidu malam-malam kau yang penuh kesedihan tu. Dan diet mengarut kau tu, tipu betul kau enjoy makan tofu dan sayuran setiap hari!"

"Oh, cakap pasal makan, hujung minggu ni jangan lupa ya kita ada sesi barbeku keluarga."

"Oh, mama. Kadangkala cuba mama berhenti pentingkan diri. Boleh, kan? Topik kita sekarang ialah anak mama yang dah merana dalam kehidupan, mostly sebab mama. Kalau kita fokus sedikit bila ahli keluarga kita sedang bercakap, tak rugi pun ma... Sesi barbeku tu siapa tak ingat. Bulan 12, maknanya nenek dan semua saudara-mara kita yang entah ingat atau tak nama kita tu akan datang. Tiada apa yang baru..."

Mama kumbang terkejut dengan kata-kata Anak Kumbang I. Mama Kumbang tiba-tiba tersedar bahawa kata-kata Anak Kumbang I merupakan sebuah realiti yang menyesakkan. Mukanya merah padam. Bunyi hujan di luar tambah menyesakkan lagi dada dan mindanya.

"Kumbang II, lega tak aku tolong keluarkan isi hati kau? Nak harapkan kau, habis tumpul semua pisau lipat aku. Belajar sikit berkomunikasi, bukan dok calarkan barang-barang dan lengan sendiri..."

Anak Kumbang II yang mula berasa pening lalu bangun dengan perlahan dari bangku bar merah kegemarannya.

"Nampaknya satu lagi hari yang dimulakan dengan kesialan. Terima kasih banyak Kumbang I. Kau memang abang yang indah."

"Sama-sama. Kau dah lambat, baik kita bergerak sekarang."

Kedua-dua anak kumbang menyusup keluar dari Rumah Oktagon. Mata Anak Kumbang II sedikit bersinar dengan kaca-kaca masin. Pelukan Anak Kumbang I yang agak kuat longgar seketika kala Anak Kumbang II menoleh ke belakang dan berkata;

"Oh ma, lupa nak cakap. Tunik ma hari ni cantik. Tak ubah macam keluarga kita."

Mama kumbang memandang dirinya yang disaluti tunik berwarna ungu kelam, berlatarkan satin hitam halus, buatan pereka fesyen terkenal dari Itali. Tunik berpotongan eksentrik yang lebar di bahagian bawah lengan dan tirus di bahagian pinggang dan punggung. Tunik itu bukan tunik kegemarannya. Ia merupakan pemberian arwah bapanya, yang dipakai atas dasar rindu, bukan nilai estetikanya.

Tiada ulasan: