17.9.10

Bertukang Secara Minor

Simetri.
Paku.
Tukul kuku kambing.

Dapur tanpa fume hood, hanya sebuah kipas asap kecil.
Keegoan masing-masing.
50cm dan 49.9cm: dekat, tapi tak sama.
Pergaduhan kecil.

Ibu.
Anak perempuan.
Kerja pertukangan.



14.9.10

Perihal Malam Jumaat

Sedang dia mencedok air sejuk dari kolah seramik
Jubin putih hari ini menerima tetamu comel
Dia jeda sebentar
Labah-labah mengenjutkan badan
Menghentakkan dua, tiga kaki halusnya secara berselang-seli
Mungkin senang hati beriadah di atas sejuk jubin putih bilik air

Kala semua manusia sedang enak dibuai mimpi biasa mahupun lucid
Dia memandang bucu kanan siling kamar
Kosong
Tidak seperti benaknya ketika itu
Dia menoleh, ke arah bucu yang satu lagi
Tiba-tiba segala resahnya hari itu diubati
Angin malam dari alam berserta angin dari kipasnya membuatkan rupa sawang yang menghiasi siling kamarnya persis sperma yang sedang berenang-renang gembira

Gebar ditarik
Dada dan wajahnya ditutupi
Dia sengih sendiri

Labah-labah mengenjutkan badan
Menyanyi kecil dalam selirat sarangnya
Kelkatu resah
Kelkatu memejamkan matanya
Hanya mampu bermimpi lucid

6.9.10

Mengidam nasi lemak (tanpa dendam)

Seperti biasa, Schleepyhead bangun pada waktu Asar hampir berakhir. Dengan lemah ia ke kafe untuk membeli makanan berbuka.

Kelihatan beberapa pasangan merpati dua sejoli dan geng-geng yang berkongsi ideologi sudah siap sedia di meja-meja dengan makanan berbuka masing-masing. Schleepyhead yang kebiasaannya kurang gemar makan nasi lemak tiba-tiba teringin nasi lemak sotong hari ini. Ia menuju ke arah sebuah gerai yang nampak gayanya mempunyai kepakaran dalam nasi lemak. Beberapa nasi lemak yang sudah siap dipek dengan lauk disusun kemas di dalam raga.

'Satu nasi lemak sotong.'

'Sepuluh ringgit.'

'Hah?!'

'Ya sepuluh ringgit. Itu harga normal bila tiba waktu berbuka.'

'Mana mungkin sebungkus nasi lemak sotong berharga sepuluh ringgit! Apa logiknya?'

'Mudah. Cuba kamu perhatikan gerai-gerai lain. Semua makanannya sudah habis dijual, bukan? Bila tiba waktu berbuka mereka yang terdesak akan datang ke sini membeli nasi lemak, walaupun pada dasarnya bukan nasi lemak yang sebenarnya mereka mahu untuk berbuka. Stok kami banyak. Jadi, kalau harga mahal pun orang akan beli nasi lemak ini. Kamu untung, dapat memintasi kelaparan, berbuka mengikut waktu. Kami peniaga pun untung juga, dapat duit lebih sedikit.'

'Ah, ini propaganda!' Bentak Schleepyhead sambil menghentak meja.

Pasangan-pasangan merpati dua sejoli dan geng-geng yang berkongsi ideologi yang dari tadinya ralit menahan kecur air liur menunggu waktu azan berkumandang secara automatis mengalihkan pandangan mereka ke arah adegan yang dibintangi oleh Schleepyhead. Ada yang tertawa kecil, tersenyum sinis, malahan, ada juga yang berbisik-bisik sesama sendiri.

Selang beberapa milisaat seterusnya, kedengaran gema azan. Perhatian para pengunjung kafe tertumpu semula ke arah makanan masing-masing. Dengan longlai (baca: yang disebabkan oleh kelaparan, bukan kekecewaan) Schleepyhead berjalan pulang menuju ke arah biliknya. Ia nekad untuk berbuka air suam sahaja. Fikirnya, 'Ah, berbuka dengan air suam dan ditemani sebuah buku yang indah lebih bermakna daripada makan nasi lemak propaganda. Ha ha.'