Malam ini Dobid memilih untuk tidak statik, tidak seperti hari-hari biasa yang selalunya dihabiskan sendiri, mempersoal kenapa rahangnya tak mewarisi kekuatan dan ketajaman rahang bapanya, Kimi.
"Yeh, memang aku nampak hodoh lagi, macam selalu. Tapi daun pokok mulberi memang buat aku kecur air liur, terpaksa keluar juga hari ni. Nak makan puas-puas sebab semalam dah puas berlapar."
Seperti biasa, Dobid merayap secara sangat perlahan menuju ke arah daun yang lebih segar dan tidak berlubang-lubang. Walaupun Dobid berat badan, dia mempunyai selera tinggi, Dobid benci berkongsi daun dengan beluncas lain. Dobid beranggapan bahawa ludah mereka akan merosakkan rasa asli daun mulberi yang pahit kemanis-manisan.
Selepas penat bertarung dengan sifat malas, Dobid senyum, puas hati kerana akhirnya berjaya sampai ke daun yang segar, lembut dan bebas dari lubang-lubang. Dan yang penting, bebas dari komuniti beluncas lain. Dengan perlahan, tanpa sebarang gangguan, Dobit menghayati keenakan daun mulberi segar.
"Ahhh.... Memang puas. Tak syak lagi aku memang dilahirkan supaya aku dapat merasai daun mulberi, ibarat daun dari syurga! Persetan saja rahangku yang lemah! Aku mahu juga makan sampai puas! Ini baru namanya kepenatan yang berbaloi!"
Dobid tiada kawan. Dobid beranggapan masa hidupnya yang memang sah singkat tak patut dibazirkan dengan perbualan kosong. Perbualan yang diwujudkan semata-mata untuk memecahkan rasa janggal semasa bertemu dengan seseorang (atau sesebeluncas? ha ha) yang baru. Dobid lebih selesa bersoal-jawab dengan dirinya sendiri jika ada sebarang perkara atau permasalahan yang dirasakannya mind-boggling.
Tiada satu hari pun yang dihabiskan oleh Dobid tanpa sesi soal-jawab bersama dirinya sendiri. Kali ini, sedang Dobid asyik mengunyah daun mulberi kegemarannya, dia terfikir tentang kesudahan hidupnya sebagai beluncas. Dia tidak bersetuju dengan ritual biasa nenek moyangnya; memintalkan benang sutera semata-mata mahu mengelakkan diri daripada menjadi habuan pemangsa, sebelum bertukar menjadi dewasa dan keluar mencari pasangan.
"Tak masuk akal. Kenapa perlu aku mengurung diri sendiri di dalam kokun, seterusnya perlu berlapar dahaga semata-mata menunggu waktu dewasa nanti? Sedangkan aku sepatutnya boleh menikmati semua daun mulberi segar ini sementara menunggu saat-saat kematianku. Aku tak mahu menjadi dewasa macam ibu bapaku dan semua nenek moyangku yang aneh! Aku mahu kekal menjadi beluncas sebelum mati!"
Maka, Dobid berfikir dia perlu nekad untuk terus menjamu daun mulberi tanpa perlu memanjat ranting pokoknya untuk memintalkan benang sutera. Dia betul-betul tidak mahu mengikut jejak langkah nenek moyangnya. Dia enggan menjadi dewasa.
(idea hilang. bersambung bila dia muncul kembali. ha ha.)