Kelihatan beberapa pasangan merpati dua sejoli dan geng-geng yang berkongsi ideologi sudah siap sedia di meja-meja dengan makanan berbuka masing-masing. Schleepyhead yang kebiasaannya kurang gemar makan nasi lemak tiba-tiba teringin nasi lemak sotong hari ini. Ia menuju ke arah sebuah gerai yang nampak gayanya mempunyai kepakaran dalam nasi lemak. Beberapa nasi lemak yang sudah siap dipek dengan lauk disusun kemas di dalam raga.
'Satu nasi lemak sotong.'
'Sepuluh ringgit.'
'Hah?!'
'Ya sepuluh ringgit. Itu harga normal bila tiba waktu berbuka.'
'Mana mungkin sebungkus nasi lemak sotong berharga sepuluh ringgit! Apa logiknya?'
'Mudah. Cuba kamu perhatikan gerai-gerai lain. Semua makanannya sudah habis dijual, bukan? Bila tiba waktu berbuka mereka yang terdesak akan datang ke sini membeli nasi lemak, walaupun pada dasarnya bukan nasi lemak yang sebenarnya mereka mahu untuk berbuka. Stok kami banyak. Jadi, kalau harga mahal pun orang akan beli nasi lemak ini. Kamu untung, dapat memintasi kelaparan, berbuka mengikut waktu. Kami peniaga pun untung juga, dapat duit lebih sedikit.'
'Ah, ini propaganda!' Bentak Schleepyhead sambil menghentak meja.
Pasangan-pasangan merpati dua sejoli dan geng-geng yang berkongsi ideologi yang dari tadinya ralit menahan kecur air liur menunggu waktu azan berkumandang secara automatis mengalihkan pandangan mereka ke arah adegan yang dibintangi oleh Schleepyhead. Ada yang tertawa kecil, tersenyum sinis, malahan, ada juga yang berbisik-bisik sesama sendiri.
Selang beberapa milisaat seterusnya, kedengaran gema azan. Perhatian para pengunjung kafe tertumpu semula ke arah makanan masing-masing. Dengan longlai (baca: yang disebabkan oleh kelaparan, bukan kekecewaan) Schleepyhead berjalan pulang menuju ke arah biliknya. Ia nekad untuk berbuka air suam sahaja. Fikirnya, 'Ah, berbuka dengan air suam dan ditemani sebuah buku yang indah lebih bermakna daripada makan nasi lemak propaganda. Ha ha.'
Tiada ulasan:
Catat Ulasan